PEMENTASAN TEATER BANGSAWAN PUTERI SAADONG SINGKAP SEJARAH CERITA NEGERI KELANTAN
PEMENTASAN TEATER BANGSAWAN PUTERI SAADONG SINGKAP SEJARAH CERITA NEGERI KELANTAN | Bila sebut saja kisah Negeri Kelantan, patik yakin korang mesti kenal dengan nama Cik Siti Wan Kembang yang dikatakan sebagai pemerintah Negeri Kelantan yang hebat menyebabkan banyak kunjungan pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Siti Wan kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti".
Bagi mengangkat ingatan kisah Cik Siti Wan Kembang dan keluarga, maka Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah mengadakan pementasan Bangsawan Puteri Saadong arahan Zack Zaideen daripada kumpulan Anak Seni Pendidikan Kelantan (Aspek Opera), Kelantan. Persembahan bermula hari ini (10 Ogos), 11 dan 12 Ogos tempoh hari berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), jam 8.30 malam.
Patik berkesempatan untuk datang dan menyaksikan sendiri pementasan bangsawan ini disini. Memang seronok bila melihat sebuah pementasan yang jenis langsung didepan mata ni haaa. Untuk pengetahuan korang, naskhah pementasan Bangsawan Puteri Saadong ini telah diambil daripada kisah legenda Puteri Saadong, seorang anakanda angkat kepada pemerintah Kelantan ketika itu, Cik Siti Wan Kembang.
SINOPSIS PEMENTASAN BANGSAWAN PUTERI SAADONG
Puteri Saadong merupakan anak angkat kepada Cik Siti Wan Kembang, Raja Wanita Pertama negeri Kelantan. Puteri Saadong telah dibawa oleh Cik Siti Wan Kembang ke Bukit Marak apabila ibunya meninggal dunia. Puteri Saadong menggantikan pemerintahan ayahandanya yakni Raja Jembal pada tahun 1667, lalu Puteri Saadong ditabal sebagai Sultan Kelantan pada tahun yang sama. Baginda Puteri Saadong merupakan raja wanita ke-dua di negeri Kelantan.
Cik Siti Wan Kembang telah memperkenankan perkahwinan antara Puteri Saadong dengan sepupunya iaitu Raja Abdullah bin Al-Marhum Sultan Samiruddin, Raja Kelantan-Selatan (Jembal) apabila Puteri Saadong berumur seawal usia 15 tahun.
Puteri Saadong telah ditangkap oleh tentera Siam untuk dijadikan permaisuri kepada Raja Narai, Raja Siam (kini Thailand), untuk menggantikan kehidupan suaminya. Berikutan penangkapan Puteri Saadong, Raja Abdullah mengambil pendirian untuk menunggu kepulangan Puteri Saadong, baginda Raja Abdullah tidak lagi berkahwin. Namun selepas bertahun-tahun menunggu, Raja Abdullah mengambil kepuusan untuk berkahwin lain.
Apabila Puteri Saadong telah kembali semula ke Bukit Marak untuk mencari Raja Abdullah untuk berkahwin semula. Lalu Puteri Saadong telah kecewa apabila mendapati Raja Abdullah telah berkahwin dengan wanita lain, atas perasaan amarah yang mendalam, Puteri Saadong bertekad lalu telah membunuh Raja Abdullah dengan menggunakan keris sanggul yang disemat dirambutnya.
Selepas insiden tersebut, Puteri Saadong telah meninggalkan Bukit Marak lalu hilang tanpa dijejaki lagi. Makam Raja Abdullah sehingga hari ini masih boleh dilihat dan dilawati di Padang Halban, Melor di daerah Bachok, Kelantan.
Selain pelakon terkenal Amar Asyraf (Raja Abdullah) dan Ellika Azman (Puteri Saadong), pementasan Bangsawan Puteri Saadong ini juga turut diwarnai oleh Hairi Safwan (Raja Loyor), Nouris Hida (Cik Siti Wan Kembang), Asyiekin (Puteri Bunga Sekuntum), Haddi Al Haq (Penghulu Ngah Jembal) manakala aktivis teater Azerai Azmi pula akan ditampilkan sebagai Tauke Panggung.
Apa pun terima kasih kepada pihak Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara atas jemputan untuk menonton pementasan Bangsawan Puteri Saadong ini. Semoga pementasan seperti ini dapatlah diteruskan bagi mengekalkan nilai budaya masyarakat Malaysia supaya tidak lapuk dek zaman.
Kredit foto: www.dikbee.com & www.mawardiyunus.com
Comments
Post a Comment